Isnin, 6 Jun 2016

Selamat Menyambut Ramadhan

Gambar hiasan: Lokasi Berhampiran plaza tol Batu Tiga Shah Alam

Ramadhan kini telah kembali. Hari ini hari pertama berpuasa. Selamat menyambut Ramadhan kepada semua pembaca. Bagi umat Islam sudah semestinya Ramadhan disambut dengan Puasa dan ibadah. Tapi bagi bukan Islam pula, kehadiran Ramadhan ni memberi mereka peluang untuk menjamu juadah-juadah yang sebelum ini sukar diperolehi, seperti kuih muih. Memang susah sikit sebab pada siang hari, banyak kedai tidak dibuka, tapi tidaklah sehingga mereka terpaksa berpuasa juga. Masih ada kedai makan yang dibuka, kepada yang memilih untuk makan di luar.

Kebetulan, hari ini aku cuti (off-day) sebagai rider. Dapatlah aku sambut berbuka bersama Isteri dan anak-anak. Tapi kalau ikutkan hati, aku nak semua keluarga aku berkumpul, dan jika boleh termasuk juga ibu, abang dan kakak untuk makan bersama malam ni. Tidak kira di mana, asalkan makan bersama. Mungkin tahun ni belum boleh sampai lagi hajat tu. Kalau tidak tahun ini, diharap tahun hadapan. Tidak salah untuk berharap kan...?

2 hari terakhir sebelum puasa tahun ini adalah hari Sabtu dan Ahad. Sempat aku buat kerja part time lebih sikit untuk cuba dapatkan sebanyak yang aku mampu duit docket / gaji mileage (gaji untuk penghantaran) hari ini (Isnin). Memang boleh dapat lebih banyak dari biasa, tapi disebabkan aku dah keletihan bila tiba waktu malam, jumlah penghantaran sebelah malam kurang sikit dari kawan yang lain. Maklumlah, aku ni sudah berumur. Mengikut rekod GPS yang aku gunakan pada telefon pintar, semalam sahaja, jarak perjalanan untuk buat semua penghantaran mencecah sehingga 100km!

Kalau ikutkan hati, aku rasa aku ini dah terlalu tua untuk buat kerja part time macam ini. Kerja hampir setiap malam sampai keletihan. Masa bersama keluarga semakin berkurangan. Semalam sahaja tidur selepas pukul 1.00 pagi. Pukul 5.00 sudah bangun untuk sahur. Sangat mengantuk apabila hendak datang kerja pagi tadi. Entah macam mana keadaan pada hari mendatang dalam bulan Ramadhan ini.

Tapi bila sudah dapat duit docket, rasa macam berbaloi pula. Terutama sekali bila masa tengah kering. Faham-faham sajelah. Duit inilah yang akan dibuat belanja setiap minggu selepas habis duit gaji. Aku fikir, kerja ini untuk sara keluarga. Selagi aku mampu, aku akan cuba untuk mudahkan hidup mereka. Aku korbankan sedikit tenaga dan masa aku untuk itu. Pada masa sama, jika ada alternatif lain, aku akan usahakan.

Duit docket minggu lepas RM81.80 - paling sikit dalam seminggu yang pernah aku dapat sejak jadi rider sebab ambil cuti 3 hari minggu itu.

Tak menjadi masaalah bagi aku untuk berusaha keras supaya mencapai apa yang aku mahu. Dari kecil lagi aku dah biasa perlu berusaha. Aku juga susah biasa bersusah untuk berjimat agar duit yang lebih boleh digunakan untuk apa yang aku perlukan kemudian. Memang aku bukanlah seorang yang sangat berjaya dalam hidup, tapi apa yang telah aku capai sudah cukup bagi aku untuk berasa sedikit bangga pada diri sendiri buat masa ini.

Everything good that comes our way doesn't always come easy